0

Man United masih diatas

Posted by mpejal on 1:00 PM in

SUNDERLAND - Sir Alex Ferguson memuji Federico Macheda dengan mengatakan pemain itu 'memiliki sesuatu yang luar biasa' selepas pemain remaja Itali itu berjaya menyelamatkan Manchester United untuk dua minggu berturut-turut.

Pemain berusia 17 tahun yang masuk sebagai pemain gantian itu menjaringkan gol untuk mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Sunderland kelmarin, membuktikan dia amat penting bagi United untuk memenangi kejuaraan liga ketiga berturut-turut walaupun tidak beraksi untuk tempoh penuh perlawanan.

Pemain remaja itu menjaringkan gol kemenangan di minit-minit terakhir menentang Aston Villa minggu lepas dengan berjaya menemui sasaran pada sentuhan pertama dan Ferguson mengakui pemain yang dibawanya dari Lazio pada usia remaja dua tahun lalu akan terus kekal bersama United.

"Dia tidak akan diganggu dengan perkara lain. Saya telah bersembang dengan keluarganya minggu ini dan dia akan berada dalam keadaan selesa. Dia akan terus beraksi," kata pengurus United itu.

Gol kemenangan Macheda hadir pada minit ke-76 apabila dia tertampan rembatan Michael Carrick, mencetus perdebatan sama ada ia sengaja atau tidak.

"Apa sahaja yang disentuhnya berubah menjadi emas buat masa ini. Dia berada di tempat yang betul untuk tertampan bola itu tetapi saya tidak tahu sama ada dia mengetahui mengenainya," kata pengurus Sunderland, Ricky Sbragia.

Ketika Sbragia menganggap jaringan tersebut begitu pelik, Ferguson mendakwa Macheda merupakan penceroboh jaringan semulajadi.

"Pemain itu memiliki sesuatu yang istimewa. Saya masih belum melihat gol itu semula tetapi salah seorang pemain memberitahu saya, dia cuba untuk menampan bola itu dengan sengaja dan melakukan sepakan sisi.

"Dia berfikir dengan cepat dan penjaring gol perlu mempunyai kualiti seperti itu. Dia mempunyai naluri.

"Saya tidak memberi sebarang pesanan kepadanya apabila dia dimasukkan kerana dia tahu peranannya untuk menembus pertahanan lawan," katanya.

Apa pun, ia satu gol yang kurang kemas dan terus membelanggu prestasi United selepas mereka gagal meneruskan persembahan terbaik apabila mendahului pada minit ke-19 melalui tandukan Paul Scholes hasil hantaran lintang Wayne Rooney.

Ferguson kemudiannya memasukkan Cristiano Ronaldo dan Macheda untuk mencari kemenangan. Ternyata percaturan pengurus itu melakukan pertukaran membuahkan hasil.

"Gol penyamaan itu meletakkan kami dalam tekanan dan anda perlu membuat keputusan. Saya membuat keputusan yang tepat," katanya.

|

0 Comments

Post a Comment

Copyright © 2009 nOtHinG tO bLoG All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.